17 April 2021, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
(Foto: pinterest.com)

Colek sinonim dan popular dalam kalangan masyarakat Kelantan. Makan colek merupakan aktiviti santai yang dilakukan bersama-sama ahli keluarga dan teman-teman pada waktu malam, seawal selepas solat Isyak hinggalah larut malam. Apabila tiba bulan Ramadan, pelbagai jenis hidangan colek menjadi pilihan para pelanggan. Antaranya termasuklah colek buah, colek ayam, colek kerang, colek malas, colek perut, colek campur, dan sebagainya. Hidangan ini biasanya dimasak celur, dibakar atau digoreng celup tepung sebelum dihidangkan bersama-sama sos atau serbuk khas yang berfungsi sebagai penambah perisa.

Umum mengetahui bahawa hidangan colek ini diiringi kandungan gula, garam, lemak, kalori, dan redikal bebas yang tinggi. Tambahan pula dimakan antara pertengahan malam hingga lewat malam. Kandungan makanan colek dan tempoh makan colek ini boleh menjejaskan kualiti kesihatan.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mengolah aktiviti makan colek supaya tidak menjejaskan kesihatan? Pertama, hadkan kekerapan aktiviti makan colek antara sekali hingga dua kali seminggu sahaja. Hal ini demikian kerana kekerapan memainkan peranan dalam memberikan impak kepada status kesihatan kita. Sebagai contohnya, sekiranya kita memakan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu setiap hari secara berlebihan tanpa gagal, badan kita akan dirangsang tanpa henti untuk menghasilkan kolesterol dalam darah dan meningkatkan kadar sel lemak dalam badan. Maka, akan timbul kesan kenaikan status lemak (Serum Lipid Profile) yang bermungkinan besar akan mengakibatkan dislipidemia, hipertensi, obesiti, strok, dan sebagainya.

Kedua, kawal kuantiti pengambilan. Sekiranya kita bercadang untuk makan colek, elakkan makan moreh. Hal ini demikian kerana kedua-duanya ialah supper. Sekiranya diambil bersama-sama, dikhuatiri kuantiti pengambilan menjadi berlebihan kerana kadar metabolisme kita telah pun berkurang secara biologinya, sebagai persiapan untuk tidur.

Keadaan ini tidak memerlukan tenaga dan zat yang berlebihan kerana sedikit sahaja tenaga dan zat yang digunakan oleh badan kita sewaktu tidur. Selain itu, kita perlu sematkan dalam minda bahawa makan colek sekadar untuk merasa atau alas perut, bukan makan untuk kenyang.

Ketiga, pilih jenis colek berasaskan “real food”. Elakkan memilih colek yang berasaskan makanan terproses seperti sosej, bebola ikan, keropok ikan, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan “real food” mempunyai nilai nutrisi dan penyerapan yang tinggi berbanding dengan makanan proses. Makanan proses mengandungi kalori, garam, lemak (trans dan tepu), kolesterol, dan radikal bebas yang tinggi. Itu belum lagi ditambah dengan sos pencicah yang sememangnya tinggi bahan pewarna, pengawet dan perasa tambahan.

Sewaktu makan colek, anda disarankan makan makanan daripada hidangan tanpa menghirup atau menghabiskan sos pencicahnya. Cukuplah sekadar sos atau bahan perasa yang melekat pada makanan tersebut. Adalah lebih baik jika anda boleh makan sekali ulam seperti taugeh, timun, salad, dan sebagainya yang selalunya dijadikan hiasan hidangan colek. Ulaman ini mengandungi nilai nutrisi seperti serat, antioksida, vitamin, dan sebagainya. Manakala, untuk hidangan air pula, adalah digalakkan untuk mengambil air kosong sahaja bagi mengelakkan pengambilan gula dan kalori secara berlebihan. Sekiranya tiada pilihan, adalah lebih baik untuk memilih minuman jenis ‘O’. Pilihan premis atau pengusaha yang mengamalkan penyediaan makanan secara bersih dan selamat juga penting bagi mengelakkan keracunan makanan.

Keempat, jaga waktu makan. Elakkan makan colek pada larut malam. Biar ada jurang masa antara satu jam hingga dua jam sebelum tidur. Hal ini demikian kerana badan kita tidak menggunakan kalori yang banyak sewaktu tidur. Lebihan kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak dalam badan. Hal ini akan menyebabkan peningkatan kolesterol dan berat badan. Selain itu, keadaan ini juga akan menyebabkan ketidakhadaman dan refluks. Seboleh-bolehnya, selepas makan colek atau mengambil makanan lain, jangan terus tidur. Anda digalakkan melakukan aktiviti seperti senaman ringan (regangan), baca buku, membaca al-Quran, dan sebagainya.

Tuntasnya, ambillah keberkatan bulan Ramadan ini untuk meningkatkan kualiti amal ibadat dan pahala. Apa-apa yang dilakukan dengan niat kerana Allah melalui cara yang betul merupakan satu ibadah, termasuklah aspek pemakanan. Oleh itu, makanlah secara sihat, seimbang dan halalan tayyiban supaya zat yang membentuk fizikal, spiritual dan mental akan dipenuhi keberkatan.

 

Mohd Faizal Mat Salleh ialah pakar diet di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi