Oleh Ritah Yahaya
29 Mac 2021, 20:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengambil kira kepentingan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam menjayakan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi, MOSTI meneruskan pelaksanaan Minggu Sains Negara pada tahun ini. Minggu Sains Negara 2021 akan dianjurkan secara maya seperti tahun 2020 disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Program yang bertemakan “Sains untuk Kesihatan” dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini akan berlangsung dari 1 hingga 7 April 2021 bersempena dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002. Hari Sains Dunia turut diamalkan di beberapa buah negara, antaranya termasuklah Afrika Selatan, China, Kanada, Norway, dan United Kingdom. Negara India dan Thai pula memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan Hari Sains Dunia.

Pemilihan tema Minggu Sains Negara 2021 yang menepati senario semasa dunia bertujuan memperlihatkan peranan dan komitmen MOSTI dalam membendung pandemik COVID-19 dan pelaksanaan transformasi negara ke arah negara berteraskan teknologi dan sains selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030.

Penganjuran Minggu Sains Negara merupakan inisiatif MOSTI untuk menyemarakkan aktiviti inovasi dan kreativiti negara yang menggariskan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti dari tahun 2021 hingga tahun 2030. Panganjuran Minggu Sains Negara juga adalah selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 sebagai punca kuasa agar penganjuran Minggu Sains Negara dilaksanakan pada minggu pertama bulan April setiap tahun di seluruh negara.

Pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia telah memberikan impak kepada kaedah pelaksanaan bagi sebarang bentuk penganjuran yang melibatkan orang ramai. Pada tahun 2020, kaedah konvesional yang dirancang telah diubah suai yang 95% aktiviti dan program yang dirancang telah diadakan secara maya.

Minggu Sains Negara 2021 akan dijayakan dengan kerjasama strategik antara MOSTI dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institusi Penyelidikan, Women in Science, Persatuan Guru STEM, Institutes Engineer Malaysia (IEM), dan Institut Aminuddin Baki (ABI). MOSTI akan memastikan bahawa kandungan yang dibina menepati keperluan setiap golongan sasar secara bersasar.

(Sumber: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.