17 Mac 2021, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Gigi cantik, senyuman menawan”. Pasti kita sering mendengar ucapan ini dimana kesihatan gigi semestinya akan memberikan senyuman yang lebih manis. Bayangkan pula wajah yang cantik, senyuman memikat namun terserlah sebaris gigi yang rosak, ditambah pula dengan warna kehitaman atau kekuningan, tentu tidak sempurna bukan?.Dalam konteks perhubungan sosial hari ini, penampilan pertama sangatlah penting dalam menyerlahkan personaliti seseorang. Ini secara tidak langsung akan menaikkan lagi keyakinan diri apabila berada dikhalayak ramai.

Bagi yang beragama Islam, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda “Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi (menggosok gigi) setiap kali mereka hendak melakukan solat” (Hadis riwayat Muslim). Di sini jelas bahawa kepentingan membersihkan mulut dengan bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan yang dianggap mulia dalam Islam. Alat yang biasanya digunakan untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi, kayu araak (siwak), rotan manggar kelapa dan sebagainya.  Menurut Aisyah R.A. pula “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya” (Hadis riwayat Baihaqi). Malah agama lain turut menitikberat penganutnya menjaga kesihatan termasuk kesihatan gigi.

Fakta Sebenar:
Lebih 50% orang dewasa menghadapi masalah gingivitis pada dua atau tiga batang gigi mereka.

Jadi adakah kesihatan gigi akan mengambarkan kesihatan jantung? Jawapannya ialah betul. Secara teorinya, dengan penjagaan gigi dan kesihatan mulut dengan baik, seseorang dapat mengelakkan pengumpulan plak. Apakah plak? Plak adalah sekumpulan bakteria yang tidak kelihatan dan membiak serta melekat terutamanya pada celahan gigi yang akhirnya akan menjejaskan kesihatan jantung. Menurut Dr Arunee, mantan presiden Persatuan Pergigian Malaysia, menjelaskan bahawa gingivitis adalah peringkat awal penyakit gusi akibat penghasilan plak yang tidak dibuang dengan cara yang sepatutnya dan jika dibiarkan, plak ini akan berkumpul hari demi hari. Lantas, gingivitis akhirnya mengakibatkan periodontitis iaitu sejenis penyakit gusi kronik yang apabila tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan gigi seperti

Berdasarkan kajian saintifik pula, pada tahun 2005, iaitu daripada dua kajian saintifik daripada Journal of Periodontology, para penyelidik berjaya membuktikan bahwa jumlah bakteria plak yang terdapat disekitar gigi dan pada poket periodontal menyumbang kepada risiko serangan sakit jantung. Dalam kajian pertama, saintis melakukan kajian terhadap 150 orang pesakit yang telah dikenalpasti pesakit periodontitis dan kebanyakannya menderita akibat penyakit serangan sakit jantung. Manakala dalam kajian kedua pula, para penyelidik mendapati bahawa DNA bakteria plak bakteria periodontal yang terdapat di gigi boleh dijumpai di arteri jantung pesakit.

Seterusnya, kita undur lagi sedikit masa iaitu pada tahun 1998, kajian turut mendapati plak gigi berkait rapat dengan penyakit jantung. Menurut kajian Paula yang telah diterbitkan didalam jurnal Current Opinion in Microbiology mendapati bakteria yang terdapat pada gigi berupaya menyebabkan penyakit endokarditis iaitu radang pada endokardium pada bahagian jantung. Endokarditis biasanya berlaku apabila bakteria yang terdapat pada gigi memasuki aliran darah ke jantung. Ini biasanya terjadi apabila berlaku pendarahan ketika proses mengosok gigi atau mengunyah makanan yang keras sehingga mencederakan gusi. Kesan kemasukan bakteria ini dimana ia berupaya berkumpul dan menbiak disaluran didalam jantung dan menyebabkan keradangan pada endokardium jantung dan injap jantung.

Penyelidikan diatas turut disokong oleh Vincent J Iacono, bekas presiden The American Academy of Periodontology. Para penyelidik ini menambah bahawa keradangan akibat plak bakteria periondontal menyebabkan pembuluh darah disekitar gusi akan terbuka dan akhirnya membolehkan bakteria daripada sekitar gigi untuk memasuki ke aliran darah dan menyerang dikawasan ke bahagian lain pada tubuh seperti jantung dengan mengakibatkan inflamasi pada arteri jantung dan seterusnya mengakibatkan serangan sakit jantung. Menurutnya lagi, persekitaran gigi kita sebagai hulu sungai dan jika kita menjadikan ia tempat pembuangan sampah dengan membiarkan pembentukan plak berterusan berlaku, maka kita tidak perlu terkejut jika hilir sungai (jantung) akan tercemar dengan sampah pada masa akan datang.

Selain itu, kajian oleh Duggal pada tahun 2003 bertajuk ”Role of dental plaque” mendapati plak gigi terhasil daripada aktiviti bakteria yang terdapat pada gigi dan persekitaran didalam mulut dan bakteria ini menjadikan baki makanan yang terlekat pada celahan gigi sebagai sumber makanan dan lama-kelamaan menyebabkan pengumpulan plak pada gigi. Kesan lain plak pada gigi ialah plak gigi akan mempercepatkan proses dimineralisasi iaitu proses penghakisan pada gigi dan ia akan berterusan berlaku selain plak ini tidak dibuang dengan betul .

Dalam kajian lain oleh penyelidik Amol Ashok dari Chicago Medical School pada tahun 2007 daripada jurnal bertajuk “The prevalence and incidence of coronary heart disease is significantly increased in periodontitis: A meta-analysis.” membuktikan bahawa penyakit periodontitis memang merupakan antara faktor risiko utama dalam menyumbangkan kepada penyakit jantung konorari. Dengan mengamalkan kesihatan gigi yang baik bagi mengelakkan pembentukan plak, maka risiko akan berkurangan untuk mendapat penyakit jantung konorari. Jadi, apakah langkah pencegahan yang baik dan optimun dalam menjaga kesihatan gigi?

Dalam konteks mencegah, ia boleh dibahagikan kepada individu dan masyarakat. Bagi individu, masing-masing perlu menyedari bahawa penjagaan gigi memerlukan pendekatan dan inisiatif yang pelbagai untuk diri sendiri. Ini kerana gigi memenuhi kira-kira 23% peratus ruang mulut kita. Dengan menggosok gigi bermakna hanya satu perempat bahagian mulut sahaja dibersihkan, ini tidak termasuk di celah-celah gigi dan kawasan yang sukar dicapai oleh berus gigi. Jadi, langkah pencegahan tambahan diperlukan seperti mengunakan ubat kumur antiseptik khas untuk perlindungan bagi gigi, menggunakan berus gigi yang sesuai dan kerap memberus gigi terutamanya selepas makan bagi mengelakkan pembetukan plak. Selain itu, diet pemakanan yang baik turut membantu mengurangkan pembentukan plak dimana mengurangkan makanan yang manis dan memakan banyak buahan dan sayuran. Perjumpaan bersama-sama doktor gigi juga penting sekurang-kurangnya enam bulan sekali demi memastikan kesihatan gigi boleh dipantau oleh pakar pergigian dan boleh memberikan nasihatan dan langkah pencegahan awal sebelum terlambat dan menyebabkan peratusan untuk mendapat penyakit jantung lebih rendah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.